Thursday, October 23, 2008

ANAK SOLEH PERMATA IBU BAPA

ANAK SOLEH PERMATA IBU BAPA

 
A
nak adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai hingganya. Tiada contoh kebahagiaan yang dapat dijadikan bandingan kepada pasangan ibu bapa yang dikurniakan anak. 
  Justeru ia perlu dijaga dengan sebaiknya bermula dari aspek makan minum dan pakaian, sehinggalah akhlak dan perilakunya, bukan sahaja ketika kanak-kanak malah apabila usia mereka menganjak memasuki alam dewasa. 
  Rasulullah saw bersabda, apabila mati seorang anak adam, putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu, sedeqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya. 
  Sekiranya ibubapa berhasrat untuk mendapatkan anak yang soleh, mereka mestilah berusaha kea rah itu kerana ia tidak berlaku dengan sendiri. Dalam usaha memberikan bimbingan dan didikan kepada anak-anak berkaitan sikap, akhlak dan tingkah laku harian, Islam menggariskan beberapa perkara utama yang boleh dijadikan panduan antaranya: 

• Berdoa kepada Allah – jika diteliti kepada perjalanan (sirah) rasul dan nabi, mereka tidak lekang daripada berdoa kepada Allah. Justeru, kepada ibubapa atau sesiapa saja berkeinginan untuk memiliki zuriat yang soleh lagi cemerlang sepatutnya mengikut contoh terbabit, berdoa kepada Allah. ‘’wahai Tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan’’ (al-imran:38). Ini menjelaskan kepada kita nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan, mereka berdoa kepada Allah agar dikurniakan keturunan yang baik. 

• Menekankan akidah dalam diri anak-anak – akidah adalah asas yang tidak boleh sama sekali dipandang ringan kerana dengan akidah yang mantap sahaja mampu membuahkan segala kebaikan, mengelakkan kejahatan. Jika tempang akidah, rosaklah yang lain. Anak yang kuat akidah tidak mudah terpengaruh dengan anasir liar, malah dengan mudah menepisnya dan melalui kekuatan dalaman inilah mereka melangkah halangan demi halangan untuk menuju puncak kecemerlangan. 

• Menekankan tuntutan syariat – pelaksanaan ibadat menepati seperti yang disyariatkn menandakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Malah ia juga melambangkan kesyukuran seorang hamba kepada tuannya. Melalui pelaksanaan syariat jugalah hubungan antara manusia dengan Allah sentiasa terjalin erat. ‘’sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian Alam’’

• Pembentukan akhlak – ramai orang bercakap mengenai peribadi baik lagi terpuji. Tetapi tidak ramai pula yang benar-benar sempurna. Begitupun memiliki akhlak terpuji satu kejayaan sangat patut dibanggakan, bukan mudah lebih lagi dikelilingi dengan rakan pelbagai ragam. Mereka berakhlak buruk dicela, dicaci,dibenci bukan saja ibubapa malah masyarakat. Tetapi mereka berakhlak mulia dibangga orang , disebut-sebut dan dijadikan contoh. Contoh paling dekat ialah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang beperibadi mulia dari kanak-kanak hinggalah remaja dan dewasa, disegani dan lawan. 




‏الجمعة‏، 26‏ ذو الحجة‏، 1428
Al-ustaz faiez bin abdul rahman… 

No comments: