Monday, July 27, 2009

PERISTIWA JULAI 2005



Ayahandaku Abdul Rahman Hj Mohamad aka Abadman


Tiap insan yang hidup pasti akan meninggalkan kita. Tidak kira orang itu kita sayang ataupun tidak. Seperti hadis nabi, ada riwayat yang mengatakan bahawa maut pasti menjemput walaupun kita berada dibelakang dinding yang teguh dan utuh sekalipun. Ana pasti, antum suma tahu yang memang hidup kita di dunia ini hanya tempat sementara waktu dan akhirat jua tempat sebenar-benar penghidupan kita selamanya. 


Kisah ini ingin ana kongsi pada suma antum diluar sana. Hari ini 1 Jun 2009. Ayahanda ana sudah pergi meninggalkan ana kira-kira dekat 4 tahun yang lepas. Ana ingin bercerita saat ana mengecapi rasa dan nikmat kali terakhir ana bersama ayahanda yang ana panggil abah. 
Ana ingin memulakan cerita ini pada bulan Julai 2005. Pada ketika itu, 13 Julai 2005 bersamaan hari Rabu di waktu pagi sebelum ana ke sekolah, seperti biasa ana akan menelefon ibunda Jamilah untuk menanyakan khabar dimana ana ketika itu bersekolah asrama di kluang. Selepas itu ana menelefon ayahanda ana yang berada di Melaka kerana menjaga teratak yang baru dibina. Sejurus ana menelefon ayahanda, ana mendapati khabar duka bahawa ayahanda memberitahu jiran di sebelah kiri rumah ana meninggal dunia akibat sakit keturunan (saraf). 

Ayahanda berpesan pada ana supaya tidak memberitahu ibunda yang beliau tidak akan pulang ke Johor Bahru. Kemudian ana menelefon ibunda dan mengatakan bahawa ayanhanda tidak pulang ke Johor bahru untuk melihat arwah jiran ana. Selepas itu ana bersarapan dan terus melangkah ke sekolah seperti biasa. Pada minggu hadapan, ana akan menghadapi ujian bulanan iaitu untuk bulan Julai. 


Pada hari yang sama, ana mendapati bahawa ayahanda pulang ke teratak di JB. Ibunda ada mengatakan bahawa ayahanda pulang tapi tidak menyangka perbuatan pelik ayahanda. Ana menunggu di sekolah sehingga hari Jumaat dan merasakan bahawa ana tidak sabar untuk pulang ke teratak di Jb untuk bertemu ayahanda yang ana rindukan selalu. 15 Julai 2005, ana pulang kerumah dengan perasaan gembira sekali. Ana bertemu ayahanda dengan riang sekali. Dalam masa yang sama, ana ada memberitahu ayahanda bahawa ana terpilih untuk pilihan raya jawatan presiden majlis perwakilan asrama. Jadi ana perlukan gambar untuk mengambil tempat dalam pilihan raya tersebut. 


Pada malam sabtu, ayahanda membawa ana ke kedai gambar di larkin. Pada masa itu, ana perasan apabila melihat tangan ayahanda seakan-akan menggigil ketika membawa ana. Selepas itu, kami pulang ke teratak. Pada malam yang sama juga, ana telah memulakan kerja ana sebagai pelajar di mana malam itu ana belajar sehingga lewat pagi untuk menghadapi ujian pada isnin hadapan. Lebih kurang pukul 1 pagi, ayahanda bangun dan menuju ke dapur lalu mengambil makanan untuk di makan. Dalam hati ana, mungkin ayahanda lapar dan tidak pernah ana melihat ayahanda bangun waktu pagi untuk makan. 


Selepas makan, ayahanda ke ruang tamu dan melihat ana belajar dan menyuruh ibunda untuk membuatkan ana air untuk lebih senang belajar. Keesokan harinya, ayahanda mengambil gambar ana yang di buat di kedai di larkin. Pada hari itu, semua adik beradik ana berada dirumah termasuk angah dan keluarganya. Ayahanda ada meminta angah untuk membuat air kopi tetapi angah hanya menurut dan tidak merasa pelik kerana tidak pernah ayahanda menyuruh angah berbuat demikian. Pada hari itu juga, ayahanda banyak mendiamkan diri dari bercakap. Ana tidak terfikir apa-apa tentang sikap ayahanda yang tetiba berubah. 
Pada petang hari yang sama, ayahanda ada duduk di depan kawasan rumah jiran ana dimana ayahanda berborak dengan ramai kawan-kawannya disana. Ana tidak juga merasa pelik dengan perangai ayahanda itu. Jika antum mahu tahu, sebenarnya ayahanda telah berjumpa dengan ramai kawannya di kawasan JB. Kami sekeluarga masih tidak memahami dengan tindak tanduk ayahanda itu. Pada hari terakhir hari keramat kami sekeluarga 17 Julai 2005 hari Ahad. Ana terpaksa pulang ke asrama dan ayahanda telah membuat keputusan untuk pulang ke teratak di Melaka juga. Pada tengahari, ayahanda ada menghantar alang ke tempat kerja tidak jauh dari teratak kami, dimana kata keramat terakhir ayahanda pada alang ialah ‘ini mungkin kali terakhir abah hantar alang’. Kami juga masih tidak mengetahui kepelikan tersebut.

Sebelum ana pulang bersama ayahanda, ayahanda juga ada memberikan kata keramat terakhir kepada along dimana ayahanda berpesan ‘jaga emak dan adik-adik’. Hendak dikatakan, ana adalah orang terakhir dalam keluarga yang dapat melihat ayahanda. 


18 Julai 2005 hari Isnin. Pada pagi hari, ayahanda ada menelefon ibunda dengan menanyakan adik ana Mohamad Rahim tentang persekolahannya. Ibunda ada mengatakan ketika di telefon bahawa suara ayahanda sangat jauh untuk di dengari. Masih lagi kami sekeluarga tidak mengetahui tanda-tanda pelik yang kami dapat. 


Hari itu, ana akan menghadapai ujian Bahasa Melayu. Ketika di sekolah, seperti biasa ana menjawab dan ana dapat merasakan bahawa ana tidak dapat untuk terlalu fokus pada ujian ana. Lebih kurang dekat pukul 1 ana sudah berada di asrama. Ketika semua kawan-kawan merehatkan diri di atas katil masing-masing, ana menyiapkan diri untuk turun mandi. Sebaik ana melangkah keluar dari pintu bilik, kawan ana memanggil ana menyatakan bahawa penyelia asrama hendak berjumpa dengan ana. Dalam hati ana berkata ana tidak melakukan kesalahan apa-apa. Semua yuran bulanan asrama telah ana langsaikan. Apa masalahnya sekarang?? Itu yang bermain di fikiran ana. 


Ana masuk semula ke bilik dan menukar pakaian lalu turun ke pejabat penyelia. Perbualan kami dimulakan dengan bertanya tentang khabar. Hati ana berasa seperti biasa. Kemudian, penyelia bertanya kepada ana bahawa adakah ayahanda ana sakit? Ana menepis dengan mengatakan ayahanda sihat walafiat dan semalam ana baru berjumpa dengannya. Penyelia memberitahu lagi bahawa keluarga ana ada menelefon asrama dan menyatakan ayahanda ana jatuh sakit. Ana berlari meninggalkan penyelia dan naik ke atas bilik. Ana kemudian turun semula ke bawah dan menelefon teratak seperti biasa. Tiada seorang pun yang angkat. Kemudian ana menelefon alang.

Alang menjawab telefon ana dengan perasaan menangis. ana Tanya kenapa???? Alang menjawab ayahanda telah meninggal dunia. Ana tersentak lalu terduduk di tepi public phone dan mengalir air mata ana dengan secara tiba-tiba, ana tidak dapat menahan sebak. Alang memberitahu bahawa semua keluarga termasuk ibunda sedang dalam perjalanan mengambil ana di kluang. Ana naik ke asrama lalu mengemas barang-barang. Semua kawan-kawan ana berkerumun di keliling ana menyanyakan mengapa ana menangis. mereka semua simpati terhadap ana. Lebih kurang dalam 10 minit kemudian, keluarga ana sampai. Angah meluru keluar menuju ke ana lalu dipeluknya. Ana tidak dapat menahan sebak. Angah cuba menenangkan ana. Tapi ana tidak dapat mengawal diri. Ana menangis sepanjang perjalanan, sepanjang hari. Ketika itu, yang berada di dalam kereta ialah ana, alang, angah dan anaknya seorang iaitu darwisy yang masih kecil, ibunda dan along. Abang nor dan Naim adik ana masih berada di JB bersama dengan abang Ipar ana manakala Najib abang ana berada di perak kerana tinggal disana. 


Kami meneruskan perjalanan kami ke Melaka kerana ayahanda meninggal dunia di sana. Sepanjang perjalanan kami menangis. tidak henti tangisan dan tidak henti air mata keluar dari mata kami sekeluarga. Tepat jam 6 petang. Kami tiba di teratak di Melaka. Ketika itu kami melihat penuh kereta dan orang ramai di rumah. Apabila kami berhenti di persimpangan rumah, ana keluar dan menuju ke dalam rumah. Makcik ana iaitu bibik memeluk ana di muka pintu. Ana tidak dapat menahan sebak. Ana melihat ayahanda terbujur di ruang tamu. Ana melihat ramai saudara ana yang sudah berkumpul di rumah. Kesedihan yang tiada tandingannya. Kami sekeluarga pergi mendapatkan ayahanda lalu dipeluk dan dicium. Ana dapat melihat orang di sekeliling ana ménanges melihat perlakuan kami sekeluarga. 


Tidak lama selepas itu, nenek ana yang sedang sakit akibat strok datang pula, keadaan nenek yang tetiba meraung melihat ayahanda membuatkan kami sekali lagi terpalit kesedihan. Suasana terharu menyelebungi keadaan kami semua termasuk saudara mara yang datang pada ketika itu. Masuk waktu maghrib, kami beramai-ramai solat jemaah bersama di rumah sementara menunggu abang dan adik yang masih belum tiba dari JB. Lebih kurang dalam pukul 9, abang dan adik ana serta abang ipar tiba dari JB. Ramai juga jiran kami dari Jb datang melawat ayahanda ana pada malam itu. Setengah jam kemudian, ana bersama adik-beradik lelaki yang lain, memandikan jenazah ayahanda. Berseri wajah ayahanda. 


Kemudian, ana bersama bilal masjid yang juga kawan rapat ayahanda, menolong beliau untuk mengkafankan ayahanda. Jam sudah menunjukkan lebih kurang 10 lebih malam. Untuk kali terakhir kami sekeluarga menatap wajah ayahanda.kami memeluk erat dan mencium ayahanda untuk kali yang tidak akan di ulang dalam penghayatan hidup manusia. Tangisan sekali lagi menyelubungi perasaan kami sekeluarga. Pedih perit sakit dan pelbagai rasa bertakthta di hati kami. Apakan daya, kami perlu redha dengan pemergian ayahanda yang Allah lebih menyayanginya. Najib abang ana masih belum tiba dari perak. Kami tidak dapat menunggu dia kerana ia sudah lambat untuk ayahanda yang telah pergi sejak pukul 1 tengahari lagi. 

Ayahanda di bawa ke masjid untuk di sembahyangkan. Ramai saudara mara kami dan jiran di Jb solat bersama. Kemudian kami membawa ayahanda ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Jinjing tidak jauh dari teratak kami. Dengan lampu limpah yang sudah dipasang. Kami mengeremuni ayahanda. Along turun di dalam liang lahad untuk menyambut ayahanda. Tangisan ana masih tidak terhenti. Ana berdiri betul-betul di di hujung kaki ayahanda sebelah kanan kubur. Ayahanda di kambus. 


Sedihnya ana kehilangan insan paling penting dalam hidup ana. Kami beramai-ramai berkumpul membaca talkin. Jiran ana memeluk ana menenangkan ana yang sejak tadi menanges. Berakhir sudah bacaan talkin. Ana menyiram air mawar dan menabur bunga ke atas pusara ayahanda. Ketika habis bacaan talkin, telefon berbunyi dan najib sudah tiba di Melaka dari perak. Dia adalah adik-beradik yang tidak dapat menatap ayahanda untuk kali yang terakhir. Begitulah kisah sedih ana yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidup ana. 


Setiap kali selepas menunaikan solat, ana sentiasa berdoa untuk ayahanda semoga ayahanda ditempatkan ke dalam golongan yang beriman. Sebenarnya, banyak lagi peristiwa pelik yang ayahanda tunjukkan Cuma ana tidak bercerita kerana kepenatan menaip. Ayahanda ana dilahirkan pada 25 September 1946 pada hari Rabu. Ayahanda meninggal dunia pada 18 Julai 2005 bersmaan 11 Jamadil Akhir 1426 H pada pukul 1.15pm akibat serangan jantung. Ayahanda diserang jantung ketika berada di atas katil di mana ketika itu ayahanda sedang menatap gambar-gambar anaknya yang masih berselerak di atas katil ketika itu. Pakcik ana yang telah membawa ayahanda ke hospital. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, ayahanda sempat menulis dua lirik lagu yang kami masih simpan iaitu BukanAku Tak Cinta dan Sentuhan Kecundang dimana lagu itu amat sensitif pada jiwa kami sekeluarga. 


Setiap yang hidup pasti akan mati. Yang masih hidup teruskan perjuangan. Jangai abaikan ibu bapa yang masih hidup. Ana sudah kehilangan seorang yang menjadi tempat mengadu keluarga. Ana sekarang tinggal bersama dengan ibunda. Ingat pesan ana, jangan abaikan mereka. 


AL-FATIHAH…
SEKALUNG DOA UNTUK AYAHANDA
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memanjatkan doa kepadamu, atas limpah kurnia dan redhamu, kau ampunkan segala dosa ibu bapa kami. Kami bermohon kepadaMu wahai Maha Mendengar, kau tempatkanlah ayahanda kami Abdul Rahman bin Haji Mohamad ke dalam dan tempat golongan orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh. Kau cucurilah rahmat ke atas rohnya. Pemergiannya amat kami rasa hingga sekarang. Kau tabahkan hati kami yang masih meneruskan hidup ini. Amin.







Anakanda yang hiba…

No comments: